Kampung Pengkalan Berangan  merupakan sebuah perkampungan nelayan sungai pada awal pembukaan perkampungan. Hal ini kerana pada awal pembukaan Kampung Pengkalan Berangan, ianya terletak di tepi Sungai Marang dan perkampungan ini berada di bahagian Hulu Sungai Marang. Pada awalnya, kebanyakan penduduk di sini menjalankan aktiviti di sungai seperti menjala, menjaring, memancing, membubu dan pelbagai lagi aktiviti dijalankan di sungai tersebut. Berdasarkan sejarah daripada orang-orang tua di sini, Kampung Pengkalan Berangan mendapat nama daripada sebuah pengkalan (jeti) yang dihubungkan dengan sebatang pokok berangan. Menurut sejarah, terdapat sebuah  pengkalan yang digunakan oleh nelayan sungai untuk menyimpan perahu jalur  dan memunggah hasil tangkapan. Berhampiran dengan pengkalan tersebut, terdapat sebatang pokok berangan yang menjadi tempat untuk nelayan berteduh seketika setelah balik dari sungai.

Pada zaman dahulu, pengkalan tersebut amat penting bagi aktiviti ekonomi. Hal ini kerana hasil tangkapan di sungai dan hasil hutan akan dihantar ke Pekan Marang untuk dijual. Pengkalan tersebutlah yang digunakan untuk memunggah barang ke Perahu Jalur untuk dihantar ke Pekan Marang. Mereka hanya menggunakan jalan air untuk pergi ke Pekan Marang yang mengambil masa satu hari perjalanan. Namun begitu, Kampung Pengkalan Berangan semakin pesat membangun dengan bermula sebagai sebuah pengkalan. Pada masa kini, Kampung Pengkalan Berangan sudah membangun dengan adanya pelbagai kemudahan asas yang disediakan oleh pihak berwajib.
  
 
   

 sejarah 1